Wednesday, August 24, 2011

Instrumen Hibah

Pengertian Hibah

Hibah dari segi bahasa bermaksud pemberian sama ada dalam bentuk ain atau selainnya. Ia merangkumi hadiah dan sedekah. Ketiga-tiga istilah ini mempunyai pengertian yang hampir sama. Perbezaannya dari aspek tujuan pemberian itu, di mana sedekah ialah suatu pemberian yang bertujuan untuk mendapat pahala di akhirat dan ia biasanya dari yang kaya kepada yang miskin. Manakala hadiah pula ialah pemberian untuk memuliakan seseorang dan biasanya ia ada hubungkait dengan sesuatu perkara. Dengan ini dapat dirumuskan bahawa setiap sedekah dan hadiah adalah hibah, tetapi bukan semua hibah adalah sedekah dan hadiah.

Hibah pada istilah syarak ialah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (iwad). Secara lebih khusus lagi, hibah ialah suatu akad pemberian milik ain harta daripada satu pihak kepada pihak yang lain tanpa balasan (iwad) semasa hidup secara sukarela, bukan mengharapkan pahala di akhirat dan memuliakan seseorang, dengan menggunakan lafaz ijab dan qabul atau seumpamanya. Berdasarkan definisi di atas, dapat disimpulkan ciri-ciri hidah adalah seperti berikut:

(i) Suatu akad pemberian milik harta kepada sesuatu pihak.
(ii) Harta yang boleh dihibah ialah ain harta, bukannya hutang atau manfaat.
(iii) Akad hibah dibuat tanpa mengenakan sebarang balasan (iwad).
(iv) Akad hibah berkuat kuasa semasa hidup pemberi hibah.
(v) Ia dibuaT secara sukarela tanpa paksaan.
(vi) Akad dibuat bukan bertujuan untuk mendapat pahala atau memuliakan seseorang tertentu.

Hukum dan Pensyariatan Hibah

Dari segi hukum, hibah adalah suatu amalan yang sunat dan digalakkan dalam Islam terutama sekali kepada kaum keluarga terdekat. Amalan ini adalah berdasarkan kepada al-Quran, al-Sunnah dan ijmak. Antara ayat al-Quran yang menggalakkan amalan hibah ialah sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin itu dengan senang hati, makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya” (Surah al-Nisa’ ayat 4).

“... dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orangorang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang memintaminta dan (memerdekakan) hamba sahaya” (Surah al-Baqarah ayat 177).

Rukun Hibah dan Syaratnya

Sesuatu akad hibah tidak akan terbentuk melainkan setelah memenuhi rukun dan syarat seperti berikut:

(i) Pemberi hibah (al-Wahib)
Pemberi hibah hendaklah seorang yang berkeahlian seperti sempurna akal, baligh dan rushd. Pemberi hibah mestilah tuan punya barang yang dihibahkan. Oleh kerana pemilik harta mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya, hibah boleh dibuat tanpa had kadar sertakepada sesiapa yang disukainya termasuk kepada orang bukan Islam, asalkan maksudnya tidak melanggar hukum syarak.

(ii) Penerima hibah (al-Mawhub lahu)
Penerima hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja asalkan dia mempunyai keupayaan memiliki harta sama ada mukallaf atau bukan mukallaf. Sekiranya penerima hibah bukan mukallaf seperti masih belum akil baligh atau kurang upaya, hibah boleh diberikan kepada walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya. Penerima hibah mestilah menerima harta yang dihibahkan dan berkuasa memegangnya. Dengan kata lain, penguasaan dan kawalan terhadap harta mestilah diberikan kepada penerima hibah.

(iii) Barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub) Barang atau harta yang hendak dihibahkan itu perlu memenuhi syarat-syarat berikut:

  • Ia hendaklah barang atau harta yang halal.
  • Ia hendaklah sejenis barang atau harta mempunyai nilai di sisi syarak.
  • Barang atau harta itu milik pemberi hibah.
  • Ia boleh diserah milikkan.
  • Ia benar-benar wujud semasa dihibahkan. Contohnya, tidak sah hibah barang yang belum ada seperti menghibahkan anak lembu yang masih dalam kandungan atau hibah hasil padi tahun hadapan sedangkan masih belum berbuah dan sebagainya.

Harta itu tidak bersambung dengan harta pemberi hibah yang tidak boleh dipisahkan seperti pokok-pokok, tanaman dan bangunan yang tidak termasuk tanah. Mengikut mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, hibah terhadap harta yang berkongsi yang tidak boleh dibahagikan adalah sah hukumnya. Dalam Islam, barang yang masih bercagar (seperti rumah) boleh dihibahkan jika mendapat keizinan dari penggadai atau peminjam.

(iv) Sighah iaitu ijab dan kabul
Sighah hibah merupakan lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan penerimaan hibah. Ia tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

  • Ada persambungan dan persamaan di antara ijab dan qabul.
  • Tidak dikenakan syarat-syarat tertentu.
  • Tidak disyaratkan dengan tempoh masa tertentu.
Hibah yang disyaratkan dengan tempoh tertentu seperti yang berlaku dalam al-‘umra dan al-ruqba adalah sah hukumnya tetapi syarat tersebut adalah terbatal. Di antara contoh lafaz ijab secara terang (sarih) ialah seperti kata pemberi “Aku berikan barang ini kepadamu” atau secara kinayah seperti kata pemberi “Aku telah menyerahkan hakmilik kepadamu” atau “Aku jadikan barang ini untukmu”. Sementara contoh lafaz qabul (penerimaan) pula ialah seperti “aku terima”, “aku redha” dan sebagainya. Dalam undang-undang Islam, sesuatu hibah itu sudah sah dengan adanya ijab dan qabul dengan perkataan atau apa-apa cara yang membawa erti memberi milik harta tanpa balasan (‘iwad). Mengikut mazhab Maliki dan Syafie, penerimaan (qabul) itu hendaklah diambilkira dalam menentukan sah atau tidaknya sesuatu hibah. Sebaliknya, golongan Hanafi menganggap bahawa ijab sahaja sudah memadai untuk menentukan sahnya sesuatu hibah itu.

Penerimaan Barang (al-Qabd) dalam Hibah

Istilah al-qabd (penerimaan barang) bermaksud mendapat sesuatu, menguasainya dan boleh melakukan tasarruf terhadap barang atau harta tersebut. Mengikut mazhab Hanbali dan Maliki, penerimaan barang tidak disyaratkan dalam sesuatu hibah, malah memadai dengan akad semata-mata. Ini bererti apabila berlaku kematian salah seorang atau salah satu pihak sama ada pemberi hibah atau penerima hibah sebelum penyerahan barang, maka hibah itu tidak terbatal. Sebaliknya, mengikut Abu Hanifah dan Syafie, penerimaan barang merupakan salah satu dari syarat sah hibah. Oleh itu, apabila berlaku kematian salah satu dari dua pihak sebelum penyerahan barang, maka hibah itu terbatal. Dalam mazhab Syafie, al-qabd merupakan syarat luzum, ertinya akad hibah tidak sempurna dan tidak berkuat kuasa dengan ijab dan qabul semata-mata, kecuali selepas al-qabd. Sekiranya al-qabd tidak berlaku maka akad hibah merupakan akad yang tidak mengikat.

Oleh itu, pemberi hibah berhak menarik balik hibah tersebut selama mana harta berkenaan berada dalam pemilikannya. Bagi mempastikan akad hibah itu sempurna dan menjadi satu akad yang mengikat, al-qabd tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

  • Mendapat kebenaran dan keizinan pemberi hibah secara sarih.
  • Harta yang dihibah tidak bercampur dengan harta lain.
  • Penerima hibah berkeahlian iaitu baligh dan berakal.

Bagi kanak-kanak dan orang gila (atau tidak berkeahlian) maka walinya atau pemegang amanah boleh menerima harta hibah bagi pihaknya.Cara penerimaan barang (al-qabd) adalah berbeza-beza mengikut jenis harta sama ada harta tak alih atau harta alih. Bagi harta tak alih, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengosongkan harta itu, menguasainya dan melakukan tasarruf terhadap harta tersebut seperti menyerah kunci dan seumpamanya. Manakala bagi harta alih pula, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengambil harta itu, memindah atau mengasingkan harta tersebutdengan harta-harta lain.

Hukum Penarikan Balik atau Pembatalan Hibah

Apabila sempurna sesuatu akad hibah dengan memenuhi rukun dan syaratnya serta berlaku penyerahan dan penerimaan barang (al-qabd), maka harta itu menjadi milik penerima bhibah sekalipun tanpa balasan (‘iwad). Namun demikian, adakah hibah berkenaan boleh ditarik balik selepas itu menjadi perselisihan di kalangan fuqaha’ seperti berikut:

(i) Menurut pendapat mazhab Hanafi, pemberi hibah boleh tetapi makruh menarik balik hibah yang telah diberikan dan dia boleh memfasakhkan hibah tersebut walaupun telah berlaku penyerahan (qabd), kecuali jika hibah itu dibuat dengan balasan (‘iwad).

(ii) Menurut pendapat mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian fuqaha’ mazhab Maliki penarikan balik hibah boleh berlaku dengan semata-mata ijab dan qabul. Tetapi apabila disertakan dengan peyerahan dan penerimaan barang (al-qabd) maka hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik kecuali hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya selama mana harta itu tidak ada kaitan dengan orang lain.

(iii) Menurut pendapat Imam Ahmad dan mazhab Zahiri, pemberi hibah tidak boleh (haram) menarik balik hibah yang telah dibuat kecuali hibah bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Orang yang menarik balik hibahnya sama seperti anjing yang memakan balik
muntahnya...” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Secara umumnya, para fuqaha’ bersetuju mengenai keharusan pembatalan hibah sekiranya ia dilakukan secara redha meredhai antara pemberi dan penerima hibah atau melalui keputusan hakim. Sungguhpun Islam membenarkan penarikan balik hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya, tetapi ia terikat dengan syarat bahawa harta tersebut masih lagi di dalam pemilikan anaknya (cucunya). Sekiranya harta itu terkeluar dari kekuasaan dan pemilikan anaknya (cucunya) seperti telah dijual, diwakaf atau dihibah kepada orang lain dan harta itu telah diterima oleh penerima hibah (orang lain), maka hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik lagi.

Kadar Harta yang Boleh Dihibah

Islam tidak menetapkan kadar atau had tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan. Ini kerana harta yang hendak dihibahkan itu merupakan milik pemberi hibah, maka terpulanglah kepada pemberi hibah membuat pertimbangan terhadap kadar harta yang ingin dihibahkan. Walaupun begitu, Islam menggalakkan hibah diberikan secara adil, lebihlebih lagi jika diberikan kepada anak-anak. Jumhur ulamak (Hanafi, Maliki dan Syafie) berpendapat bahawa sunat menyamakan pemberian di antara anak-anak dan pemberian yang lebih kepada salah seorang daripada mereka adalah makruh hukumnya, walaupun pemberian itu sah. Bagi Abu Yusuf, melebihkan pemberian kepada sebahagian daripada anak-anak adalah diharuskan jika ibu bapa tidak berniat menimbulkan bahaya kepada anak-anak yang lain. Sekiranya ibu bapa berniat sedemikian, maka menjadi kewajipan mereka menyamakan pemberian tersebut.

Menurut mazhab Hanbali, keadilan dalam pemberian hibah kepada anak-anak merupakan perkara yang wajib. Manakala menurut Imam Malik, tidak boleh memberi hibah semua harta kepada sesetengah anaknya dan tidak kepada yang lain. Menurut pendapat Hanafi, Syafie, Maliki dan Abu Yusuf, cara pemberian harta yang adil kepada anak-anak semasa hayat ialah dengan cara menyamakan pemberian tersebut tanpa membezakan di antara anak lelaki dan anak perempuan. Sebaliknya, golongan Hanbali dan Muhammad bin Hassan al-Shaybani berpendapat bahawa keadilan yang dikehendaki dalam pemberian adalah mengikut kadar mereka dalam pembahagian harta pusaka, iaitu bahagian anak lelaki menyamai dua bahagian anak perempuan.

Hibah pada Masa Marad al-Mawt

Perkataan marad al-mawt bermaksud sakit yang boleh menyebabkan kematian. Syarat-syarat berikut diperlukan bagi menentukan marad al-mawt, iaitu:

  • Penyakit itu yang menyebabkan kematian si mati.
  • Penyakit itu menyebabkan kecemasan kematian dalam fikiran si mati.
  • Terdapat tanda-tanda luar yang menuntukkan bahawa penyakit itu berat.
Dalam Perkara 1595 Majallah al-Ahkam al-‘Adliyyah, istilah marad al-mawt bermaksud sakit yang kebanyakannya membawa kepada kematian, di mana sakit itu boleh melemahkan orang sakit daripada melihat maslahat (kepentingan) di luar rumahnya jika dia seorang lelaki, dan melemahkannya daripada melihat maslahat (kepentingan) di dalam rumahnya jika dia seorang perempuan. Pesakit itu mati dalam keadaan sedemikian sebelum berlalu masa satu tahun sama ada dia terlantar atas tilam (katil) atau sebaliknya. Sekiranya keadaan sakit tersebut berterusan dan telah berlalu masa satu tahun, maka hukumnya sama seperti orang sihat, ertinya segala urusannya (tasarruf) sama seperti urusan orang sihat selagi sakit itu tidak terlalu berat dan tidak berubah keadaannya. Tetapi sekiranya penyakit itu bertambah berat (serius) dan keadaannya telah berubah dan dia mati dalam keadaan sedemikian, maka keadaan (daripada waktu berlaku perubahan sehingga kematiannya) sakit itu dianggap sebagai marad al-mawt. Daripada definisi di atas, perkataan marad al-mawt mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Sesuatu penyakit itu yang meyebabkan kematian.
  • Kematian yang diakibatkan oleh sesuatu penyakit itu berlaku dalam masa satu tahun atau selepas masa satu tahun (dalam keadaan penyakit itu bertambah berat).
  • Sesuatu penyakit itu boleh melupakan dan melalaikan seseorang pesakit itu daripadakepentingan yang bersifat keduniaan.

Hibah pada masa marad al-mawt ialah pemberian yang dibuat oleh seseorang yang sakit tenat yang boleh membawa kepada kematian. Dalam undang-undang Islam pemberian itu melibatkan dua jenis undang-undang iaitu undang-undang hibah dan wasiat. Sekiranya pemberi hibah menemui ajal berikutan dengan lafaz pemberian itu, maka pemberian itu samalah seperti pemberian melalui wasiat dan tertakluk kepada hukum wasiat iaitu:

  • Pemberian itu tidak melebihi 1/3 daripada harta si mati.
  • Pemberian itu tidak diberikan kepada waris kecuali waris-waris lain telah bersetuju.

Walau bagaimanapun, jika pemberi hibah itu hidup maka pemberian itu termasuk di dalam hukum hibah dan tertakluk kepada hukum pemberian semasa hidup iaitu penyerahan hak pemunyaan oleh pemberi hibah kepada penerima hibah. Dalam Majallah al-Ahkam al-‘Adliyyah juga telah menerangkan babarapa perkara yang berkaitan dengan hibah yang dibuat ketika marad al-mawt, antaranya:

  • Apabila seseorang yang tidak mempunyai waris menghibahkan semua hartanya kepada seseorang pada masa marad al-mawt, kemudian pemberian itu diterima maka hibah itu hukumnya adalah sah (Perkara 877).
  • Apabila seseorang suami menghibahkan semua hartanya kepada isterinya atau sebaliknya pada masa marad al-mawt dan hibah itu telah diterima, sedangkan mereka tidak mempunyai waris lain, maka hibah itu juga hukumnya sah dan baitulmal tidak boleh campurtangan dalam harta peninggalannya (Perkara 878).
  • Apabila seseorang telah menghibahkan sesuatu harta kepada salah seorang daripada waris pada masa marad al-mawt dan selepas kematiannya waris-waris lain tidak bersetuju, maka hibah itu hukumnya tidak sah (Perkara 879).
Read more!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...