Thursday, August 25, 2011

Pusaka Islam

Ilmu Pusaka adalah salah satu dari cabang Ilmu Fiqh yang sangat diambil berat oleh Islam dan dipandang sangat tinggi nilainya.Oleh itu Islam disamping menyuruh umatnya mempertingkatkan sistem pusaka Islam dengan betul, dan meberi amaran keras kepada sesiapa yang cuba meringan-ringankan atau meninggalkan sistem Ilahoi ini ia menyuruh kita mempelajari dan mengajarnya. Antara Dalil-dalilnya ialah seperti Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu majah dan darul Qutni di bawah ini:-

امتي من ينزع اول وهو ينسي وهو العلم نصف نها فا علموها و ئض الفرا تعلموا

"Daripada Abi Hurairah ra berkata, Sabda Rasulallah saw : Hendaklah kamu mempelajari Ilmu Faraid dan ajarkanlah akannya, kerana ia adalah setengah ilmu , ia adalah dilupakan dan ia adalah sesuatu yang mula dicabutkan dari umatku".

Dan sabdanya lagi:-

دلة عا فريضة او ئمة قا سنة او محكمة أية فضل لك ذ سوى وما ثلاثة العلم

"Daripada Abdullah Bin Amru, bahawa Rasulallah saw telah bersabda: Ilmu itu ada tiga macam, dan yang lainnya adalah lebihan, iaitu Ayat Muhkamah atau Sunnah yang tegap atau Faridah(pembahagian Pusaka) yang adil." (Riwayat Abu Daud).


Pusaka Mengikut Syarak

Ialah suatu hak yang boleh dibahagikan dan sabit kepada yang berhak setelah yang berhak dahulu itu mati, kerana ada hubungan kerabat, suami isteri atau wala’ atau perjanjian. Maksud hak ialah semua jenis-jenis hak yang merangkumi harta benda dan lainnya seperti hak qisas dan shafaat.

Rukun-rukun Pusaka

Sepertimana ilmu-ilmu yang lain, Pusaka juga mempunayi rukun-rukunnya bagi memastikan pusaka dapat ditentukan dengan sah mengikut hukumnya. Di bawah ini dijelaskan rukun-rukunnya iaitu:-

i.Pewaris ( Si mati)

ii.Waris ( ahli waris yang berhak )

iii.Yang diwaris ( harta atau sebagainya)

Sebab-sebab Pusaka

Selain daripada rukun, sistem pusaka dalam Islam melihat juga kepada beberapa sebab yang menjadikan seseorang itu berhak menerima harta pusaka keluarganya yang telah meninggal dahulu itu. Dengan sebab-sebab inlah seseorang waris itu boleh mendapat pusaka iaitu:-

i. Pernikahan

ii. Kerabat

iii.Wala’ (pembebasan hamba)

Ayat An-Nisaa’:12 ini adalah sebagai dalil menunjukkan sebab pernikahan .

Maknanya:

“Dan bagimu (suami-isteri) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika isteri-isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat seperempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan)
sesudah dibayar hutangnya para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tingalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperoleh seperdelapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. Jika seseorang mati, baik lelaki mahupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara lelaki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudarasaudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syari’at yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.”

Syarat-syarat Pusaka

Selain daripada rukun dan sebab, sistem pusaka islam juga telah menentukan syarat-syarat bagaimana seharusnya pusaka itu dibahagikan iaitu:-

i.Pewaris mati dahulu

ii.Waris hidup semasa kematian pewaris

iii.Tidak ada perkara yang menegah waris menerima pusaka iaitu:-

a.Perhambaan

b.Membunuh

c.Berlainan agama

Apa dia peninggalan si mati (At-Tarikah)

i. Menurut Mazhab Shafie ialah segala apa yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya kemudian ditinggalkan untuk pewaris-pewarisnya samada harta benda, hak kepunyaan, begitu juga apa yang termasuk ke dalam miliknya setelah ia mati. Di dalam Nihayah al-muhtaj:

“Peninggalan si mati ialah apa-apa yang ditinggalkan untuk orang
kemudian daripadanya dari suatu hak seperti jenayah, tuduhan berzina,
atau ikhtisas, atau mal seperti arak yang telah menjadi cuka setelah
matinya, diyat yang diambil dari pembunuhnya, kerana diyat itu termasuk
ke dalam miliknya, begitu juga apa yang termasuk ke dalam pukatnya
yang telah dipasang di masa hidupnya.”

Sabda Rasullulah s.a.w. yang maksudnya:

“Sesiapa yang telah meninggalkan harta atau sesuatu hak maka untuk
waris-warisnya dan sesiapa yang meninggalkan bebanan atau anak
(yang tidak ada sesiapa yang menanggung) adalah kepada saya (saya
yang menanggung).”

Mempusakai kegunaan dan perkara-perkara harus

i. Dalam Mazhab Shafie:

Kegunaan si mati semasa hidupnya seperti sewaan atau pinjaman atau wakaf yang dimiliki oleh pewaris itu diambil alih oleh waris-warisnya. Dalam Syarh al-Mahalli:

“Sewaan tidak terfasakh dengan mati salah seorang dari yang berakad
bahkan berkekalan sehingga habis tempohnya dan waris bagi pihak yang
menyewa adalah menggantikannya di dalam menyempurnakan kegunaan
itu.”

ii. Perkara-perkara harus tidak diwarisi seperti seseorang mempunyai rumah membenarkan seseorang lain untuk ia menjadi tetamu di dalamnya, kemudian tetamu itu mati, maka pengharusan yang diperolehi ini tidaklah diwarisi oleh waris-warisnya dan mereka tidak boleh mengambil tempat

tetamu itu di dalam menjadi tetamu.

Hak yang berkaitan dengan si mati

Setelah seseorang itu mati, sebelum harta-hartanya dibahagikan mengikut sistem faraid atau pusaka, beberapa hak perlau ditunaikan mengikut tertib seperti berikut:-

i. Hak ain

Iaitu hak-hak yang berkaitan dengan ain harta-harta yang ditinggalkan oleh si mati. Oleh itu orang yang mula-mula sekali berhak di dalam harta peninggalan si mati ialah orang yang mempunyai hak berkaitan dengan ain harta itu. Umpa seseorang yang membeli sesuatu benda dari kawannya, kemudian dia mati sebelum ia menerimanya dan membayar harganya, maka si penjual berhak dengan benda itu sehingga dijelankan harganya.

ii Hak persiapan pengkebumian

Iaitu perbelanjaan yang dikehendaki untuk dilakukan terhadap si mati dari masa mati sehingga dikebumikan. Perbelanjaan yang dimaksudkan ialah belanja memandikannya, mengkafankannya, membawanya ke kubur dan menannamkannya. Perbelanjaan ini hendaklah secara patut dan tidak berlebih-lebihan. Dalam Mazhab Shafie, Syeikh Syarbini al-Khatib ada menjelaskan bahawa mengadakan jamuan makan dari keluarga si mati dan menghimpunkan manusia ke atasnya adalah bidah tidak disunatkan. Oleh itu sesiapa yang membelanjakan sesuatu daripada harta peninggalan si mati , hendaklah diganti.

ii. Hak hutang piutang

Setelah menyelesaikan belanja pengkebumian, jika ada lebih hartanya,

hendaklah diselesaikan hutang piutang si mati. Hutang-hutang ini termasuklah hutang dengan manusia dan hutang dengan Allah. Dalam Mazhab Shafie, hutang Allah hendaklah didahulukan daripada hutang dengan manusia. Hutang-hutang Allah ialah seperti zakat yang belum ditunaikan, haji yang belum sempat dilaksanakan, kafarah dan nazar. Hutang dengan manusia seperti hutang wang dan sebaginya.

iv. Hak wasiat

Setelah selesai menyempurnakan hak-hak yang tersebut tadi, barulah kita sempurnakan wasiat si mati jika ada lebihan hartanya dan tidak lebih satu pertiga daripada baki harta tersebut. Sekiranya lebih daripada satu pertiga, adalah tidak sah wasiat itu yang lebihan tersebut kecuali diizinkan oleh ahli-ahli warisnya.

v. Harta Sepencarian

Seterusnya, jika ada antara waris-waris yang ingin menuntut harta sepencarian bersama si mati, ia hendaklah mengemukakan tuntutannya ke Mahkamah Syariah sebelum harta itu difaraidkan. Harta Sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

vi. Hak waris (Harta Pusaka)

Setelah disempurnakan hak-hak yang disebutkan tadi, bolehlah dibahagikan yang baki itu kepada ahli waris si mati yang berhak mengikut syarat dan tertibnya.

Waris-Waris Yang Tidak Terlindung/Terhalang Oleh Sesiapapun

Terdapat 5 orang waris di dalam sistem pusaka Islam yang tidak dihalangi oleh

sesiapapun di dalam pembahagian harta pusaka si mati, iaitu:-

i. Suami/ Isteri

ii. Bapa

iii.Ibu

iv Anak Perempuan dan anak lelaki

Beberapa Masalah Semasa Berkaitan Dengan Pusaka.

i. Masalah Wasiat dan Harta pusaka.

Seseorang Islam boleh mewasiatkan hartanya kepada selain daripada ahli warisnya dengan tidak melebihi 1/3 keseluruhan hartanya, bukan harta yang diwasiat sahaja. Jika melebihi kadar 1/3, harta yang lebih boleh dimiliki oleh penerima wasiat hanya dengan izin ahli-ahli waris. Jika tidak ada izin, penerima wasiat hanya boleh mengambil 1/3 sahaja. Mewasiatkan harta kepada ahli waris adalah tidak sah mengikut hukum syarak walaupun tidak melebihi 1/3 atau dengan keizinan ahli waris yang terlibat. Diriwayatkan dari Said Bin Abi Waqas r.a bahawa dia pernah bertanya dalam sakitnya "Ya Rasulallah saw, bahawa hartaku banyak dan tidak ada yang diwarisi harta itu kecuali anakku yang perempuan, bolehkah aku mewasiatkan hartaku semuanya ?". Rasulallah saw menjawab:"Jangan. Dia bertanya lagi." Kalau dua pertiga bagaimana?. Baginda menjawab."Jangan.Aku bertanya lagi."Bagaimana kalau 1/2?. Beliau menjawab," Jangan.Aku bertanya lagi, "Sepertiga?. Baginda menjawab."Ya boleh dan sepertiga itu banyak.Sesungguhnya apabila engkau tinggalkan ahli waris engkau itu kaya, lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam kemiskinan meminta-minta kepada manusia."

Diriwayatkan daripada Abu Umamah r.a berkata ia. Telah bersabda Rasulallah

saw di dalam pidatonya dalam haji wida'"Sesungguhnya Allah telah memberikan
tiap-tiap orang empunya hak akan haknya,oleh sebab itu tidak boleh berwasiat
untuk ahli waris."

ii. Menghibahkan Harta Semasa Hidup

Seseorang Islam boleh menghibahkan hartanya kepada sesiapapun semasa hidupnya, sebahagian atau keseluruhan hartanya. Ini boleh berlaku kepada mereka yang tidak mempunyai anak kandung yang tidak mahu hartanya berpindah secara faraid kepada saudara-saudaranya yang lain.

Hibah boleh dibuat dengan menukarkan nama ke dalam geran tanah/rumah/kereta. Hibah pada istilah syarak ialah suatu aqad yang mengandungi pemberian milik oleh seorang terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan('iwad).

Dari segi istilah, hibah adalah berbeza dengan pemberian(gift) dalam undangundang Inggeris, di mana perkataan "pemberian" itu adalah lebih luas pengertiannya jika dibandingkan dengan hibah, di mana istilah"pemberian" itu lebih umum dan merangkumi semua jenis pindak milik. Manakala pengertian

hibah adalah sempit dan mempunyai konsep undang-undang yang khusus. Dalam Islam, hibah sudah sah dengan adanya ijab dan qabul dengan perkataan yang memberi erti memberi milik harta tanpa balasan.Mengikut mazhab Shafie, bahawa penerimaan (qabul) itu hendaklah diambil kira dalam menentukan sah atau tidaknya hibah. Begitu juga, penerimaan barang adalah satu dari syarat sah hibah. Ertinya, apabila berlaku kematian salah satu dari dua pihak sebelum penyerahan barang, maka hibah itu terbatal. Hukum syarak juga menjelaskan sesuatu hibah yang telah diberi tidak boleh

ditarik balik dan hukumnya adalah haram, sekalipun antara saudara mara atau

suami isteri, kecuali hibah oleh bapa kepada anaknya, boleh ditarik balik.

iii. Penama(Nominee) Pada Takaful/Wang KWSP/Tabung Haji

Dan sebagainya.

Mengikut hukum syarak, penama yang ditulis di dalam skim-skim wang simpanan seperti Takaful/ KWSP/Tabung Haji dan sebagainya tidak dengan sendirinya menjadi hak milik kepada penama tersebut dan tidak sah menurut Islam. Ia masih tertakluk kepada pembahagian faraid. Oleh itu, wang-wang tersebut menjadi peninggalan harta si mati dan hendaklah dibahagiakan secara faraid. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tahun 1973 juga telah memberikan pendapatnya dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 20 Sept.1973 seperti berikut:

"Penama-penama KWSP, Wang Simpanan Pejabat Pos,Bank, Insuran dan Syarikat Kerjasama adalah sebagai orang-orang yang melaksanakan wasiat si amti atau wasi. Mereka boleh menerima wang si mati dari sumber-sumber tersebut untuk dibahagikan kepada orang-orang yang berhak menurut
pembahagian Faraid."

Dalam mesyuarat Majlis Raja-raja(Negeri-negeri yang mengambil bahagian sahaja) yang ke 117 pada 21 Feb. 1980, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah mengemukakan pendapat dan telah dipersetujui oleh Majlis mengenai perkara penama (Nominee). Keputusannya adalah seperti berikut:-

i. Majlis mengambil ingatan bahawa orang-orang yang beragama

Islam tidak boleh melantik penama(Nominee),dan

ii. Majlis bersetuju YB Peguam Negara menggubal undang-

Undang supaya orang-orang yang beragama Islam tidak

Dibenarkan melantik penama (Nominee)
Read more!

Wednesday, August 24, 2011

Instrumen Hibah

Pengertian Hibah

Hibah dari segi bahasa bermaksud pemberian sama ada dalam bentuk ain atau selainnya. Ia merangkumi hadiah dan sedekah. Ketiga-tiga istilah ini mempunyai pengertian yang hampir sama. Perbezaannya dari aspek tujuan pemberian itu, di mana sedekah ialah suatu pemberian yang bertujuan untuk mendapat pahala di akhirat dan ia biasanya dari yang kaya kepada yang miskin. Manakala hadiah pula ialah pemberian untuk memuliakan seseorang dan biasanya ia ada hubungkait dengan sesuatu perkara. Dengan ini dapat dirumuskan bahawa setiap sedekah dan hadiah adalah hibah, tetapi bukan semua hibah adalah sedekah dan hadiah.

Hibah pada istilah syarak ialah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (iwad). Secara lebih khusus lagi, hibah ialah suatu akad pemberian milik ain harta daripada satu pihak kepada pihak yang lain tanpa balasan (iwad) semasa hidup secara sukarela, bukan mengharapkan pahala di akhirat dan memuliakan seseorang, dengan menggunakan lafaz ijab dan qabul atau seumpamanya. Berdasarkan definisi di atas, dapat disimpulkan ciri-ciri hidah adalah seperti berikut:

(i) Suatu akad pemberian milik harta kepada sesuatu pihak.
(ii) Harta yang boleh dihibah ialah ain harta, bukannya hutang atau manfaat.
(iii) Akad hibah dibuat tanpa mengenakan sebarang balasan (iwad).
(iv) Akad hibah berkuat kuasa semasa hidup pemberi hibah.
(v) Ia dibuaT secara sukarela tanpa paksaan.
(vi) Akad dibuat bukan bertujuan untuk mendapat pahala atau memuliakan seseorang tertentu.

Hukum dan Pensyariatan Hibah

Dari segi hukum, hibah adalah suatu amalan yang sunat dan digalakkan dalam Islam terutama sekali kepada kaum keluarga terdekat. Amalan ini adalah berdasarkan kepada al-Quran, al-Sunnah dan ijmak. Antara ayat al-Quran yang menggalakkan amalan hibah ialah sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin itu dengan senang hati, makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya” (Surah al-Nisa’ ayat 4).

“... dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orangorang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang memintaminta dan (memerdekakan) hamba sahaya” (Surah al-Baqarah ayat 177).

Rukun Hibah dan Syaratnya

Sesuatu akad hibah tidak akan terbentuk melainkan setelah memenuhi rukun dan syarat seperti berikut:

(i) Pemberi hibah (al-Wahib)
Pemberi hibah hendaklah seorang yang berkeahlian seperti sempurna akal, baligh dan rushd. Pemberi hibah mestilah tuan punya barang yang dihibahkan. Oleh kerana pemilik harta mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya, hibah boleh dibuat tanpa had kadar sertakepada sesiapa yang disukainya termasuk kepada orang bukan Islam, asalkan maksudnya tidak melanggar hukum syarak.

(ii) Penerima hibah (al-Mawhub lahu)
Penerima hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja asalkan dia mempunyai keupayaan memiliki harta sama ada mukallaf atau bukan mukallaf. Sekiranya penerima hibah bukan mukallaf seperti masih belum akil baligh atau kurang upaya, hibah boleh diberikan kepada walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya. Penerima hibah mestilah menerima harta yang dihibahkan dan berkuasa memegangnya. Dengan kata lain, penguasaan dan kawalan terhadap harta mestilah diberikan kepada penerima hibah.

(iii) Barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub) Barang atau harta yang hendak dihibahkan itu perlu memenuhi syarat-syarat berikut:

  • Ia hendaklah barang atau harta yang halal.
  • Ia hendaklah sejenis barang atau harta mempunyai nilai di sisi syarak.
  • Barang atau harta itu milik pemberi hibah.
  • Ia boleh diserah milikkan.
  • Ia benar-benar wujud semasa dihibahkan. Contohnya, tidak sah hibah barang yang belum ada seperti menghibahkan anak lembu yang masih dalam kandungan atau hibah hasil padi tahun hadapan sedangkan masih belum berbuah dan sebagainya.

Harta itu tidak bersambung dengan harta pemberi hibah yang tidak boleh dipisahkan seperti pokok-pokok, tanaman dan bangunan yang tidak termasuk tanah. Mengikut mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, hibah terhadap harta yang berkongsi yang tidak boleh dibahagikan adalah sah hukumnya. Dalam Islam, barang yang masih bercagar (seperti rumah) boleh dihibahkan jika mendapat keizinan dari penggadai atau peminjam.

(iv) Sighah iaitu ijab dan kabul
Sighah hibah merupakan lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan penerimaan hibah. Ia tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

  • Ada persambungan dan persamaan di antara ijab dan qabul.
  • Tidak dikenakan syarat-syarat tertentu.
  • Tidak disyaratkan dengan tempoh masa tertentu.
Hibah yang disyaratkan dengan tempoh tertentu seperti yang berlaku dalam al-‘umra dan al-ruqba adalah sah hukumnya tetapi syarat tersebut adalah terbatal. Di antara contoh lafaz ijab secara terang (sarih) ialah seperti kata pemberi “Aku berikan barang ini kepadamu” atau secara kinayah seperti kata pemberi “Aku telah menyerahkan hakmilik kepadamu” atau “Aku jadikan barang ini untukmu”. Sementara contoh lafaz qabul (penerimaan) pula ialah seperti “aku terima”, “aku redha” dan sebagainya. Dalam undang-undang Islam, sesuatu hibah itu sudah sah dengan adanya ijab dan qabul dengan perkataan atau apa-apa cara yang membawa erti memberi milik harta tanpa balasan (‘iwad). Mengikut mazhab Maliki dan Syafie, penerimaan (qabul) itu hendaklah diambilkira dalam menentukan sah atau tidaknya sesuatu hibah. Sebaliknya, golongan Hanafi menganggap bahawa ijab sahaja sudah memadai untuk menentukan sahnya sesuatu hibah itu.

Penerimaan Barang (al-Qabd) dalam Hibah

Istilah al-qabd (penerimaan barang) bermaksud mendapat sesuatu, menguasainya dan boleh melakukan tasarruf terhadap barang atau harta tersebut. Mengikut mazhab Hanbali dan Maliki, penerimaan barang tidak disyaratkan dalam sesuatu hibah, malah memadai dengan akad semata-mata. Ini bererti apabila berlaku kematian salah seorang atau salah satu pihak sama ada pemberi hibah atau penerima hibah sebelum penyerahan barang, maka hibah itu tidak terbatal. Sebaliknya, mengikut Abu Hanifah dan Syafie, penerimaan barang merupakan salah satu dari syarat sah hibah. Oleh itu, apabila berlaku kematian salah satu dari dua pihak sebelum penyerahan barang, maka hibah itu terbatal. Dalam mazhab Syafie, al-qabd merupakan syarat luzum, ertinya akad hibah tidak sempurna dan tidak berkuat kuasa dengan ijab dan qabul semata-mata, kecuali selepas al-qabd. Sekiranya al-qabd tidak berlaku maka akad hibah merupakan akad yang tidak mengikat.

Oleh itu, pemberi hibah berhak menarik balik hibah tersebut selama mana harta berkenaan berada dalam pemilikannya. Bagi mempastikan akad hibah itu sempurna dan menjadi satu akad yang mengikat, al-qabd tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

  • Mendapat kebenaran dan keizinan pemberi hibah secara sarih.
  • Harta yang dihibah tidak bercampur dengan harta lain.
  • Penerima hibah berkeahlian iaitu baligh dan berakal.

Bagi kanak-kanak dan orang gila (atau tidak berkeahlian) maka walinya atau pemegang amanah boleh menerima harta hibah bagi pihaknya.Cara penerimaan barang (al-qabd) adalah berbeza-beza mengikut jenis harta sama ada harta tak alih atau harta alih. Bagi harta tak alih, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengosongkan harta itu, menguasainya dan melakukan tasarruf terhadap harta tersebut seperti menyerah kunci dan seumpamanya. Manakala bagi harta alih pula, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengambil harta itu, memindah atau mengasingkan harta tersebutdengan harta-harta lain.

Hukum Penarikan Balik atau Pembatalan Hibah

Apabila sempurna sesuatu akad hibah dengan memenuhi rukun dan syaratnya serta berlaku penyerahan dan penerimaan barang (al-qabd), maka harta itu menjadi milik penerima bhibah sekalipun tanpa balasan (‘iwad). Namun demikian, adakah hibah berkenaan boleh ditarik balik selepas itu menjadi perselisihan di kalangan fuqaha’ seperti berikut:

(i) Menurut pendapat mazhab Hanafi, pemberi hibah boleh tetapi makruh menarik balik hibah yang telah diberikan dan dia boleh memfasakhkan hibah tersebut walaupun telah berlaku penyerahan (qabd), kecuali jika hibah itu dibuat dengan balasan (‘iwad).

(ii) Menurut pendapat mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian fuqaha’ mazhab Maliki penarikan balik hibah boleh berlaku dengan semata-mata ijab dan qabul. Tetapi apabila disertakan dengan peyerahan dan penerimaan barang (al-qabd) maka hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik kecuali hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya selama mana harta itu tidak ada kaitan dengan orang lain.

(iii) Menurut pendapat Imam Ahmad dan mazhab Zahiri, pemberi hibah tidak boleh (haram) menarik balik hibah yang telah dibuat kecuali hibah bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Orang yang menarik balik hibahnya sama seperti anjing yang memakan balik
muntahnya...” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Secara umumnya, para fuqaha’ bersetuju mengenai keharusan pembatalan hibah sekiranya ia dilakukan secara redha meredhai antara pemberi dan penerima hibah atau melalui keputusan hakim. Sungguhpun Islam membenarkan penarikan balik hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya, tetapi ia terikat dengan syarat bahawa harta tersebut masih lagi di dalam pemilikan anaknya (cucunya). Sekiranya harta itu terkeluar dari kekuasaan dan pemilikan anaknya (cucunya) seperti telah dijual, diwakaf atau dihibah kepada orang lain dan harta itu telah diterima oleh penerima hibah (orang lain), maka hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik lagi.

Kadar Harta yang Boleh Dihibah

Islam tidak menetapkan kadar atau had tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan. Ini kerana harta yang hendak dihibahkan itu merupakan milik pemberi hibah, maka terpulanglah kepada pemberi hibah membuat pertimbangan terhadap kadar harta yang ingin dihibahkan. Walaupun begitu, Islam menggalakkan hibah diberikan secara adil, lebihlebih lagi jika diberikan kepada anak-anak. Jumhur ulamak (Hanafi, Maliki dan Syafie) berpendapat bahawa sunat menyamakan pemberian di antara anak-anak dan pemberian yang lebih kepada salah seorang daripada mereka adalah makruh hukumnya, walaupun pemberian itu sah. Bagi Abu Yusuf, melebihkan pemberian kepada sebahagian daripada anak-anak adalah diharuskan jika ibu bapa tidak berniat menimbulkan bahaya kepada anak-anak yang lain. Sekiranya ibu bapa berniat sedemikian, maka menjadi kewajipan mereka menyamakan pemberian tersebut.

Menurut mazhab Hanbali, keadilan dalam pemberian hibah kepada anak-anak merupakan perkara yang wajib. Manakala menurut Imam Malik, tidak boleh memberi hibah semua harta kepada sesetengah anaknya dan tidak kepada yang lain. Menurut pendapat Hanafi, Syafie, Maliki dan Abu Yusuf, cara pemberian harta yang adil kepada anak-anak semasa hayat ialah dengan cara menyamakan pemberian tersebut tanpa membezakan di antara anak lelaki dan anak perempuan. Sebaliknya, golongan Hanbali dan Muhammad bin Hassan al-Shaybani berpendapat bahawa keadilan yang dikehendaki dalam pemberian adalah mengikut kadar mereka dalam pembahagian harta pusaka, iaitu bahagian anak lelaki menyamai dua bahagian anak perempuan.

Hibah pada Masa Marad al-Mawt

Perkataan marad al-mawt bermaksud sakit yang boleh menyebabkan kematian. Syarat-syarat berikut diperlukan bagi menentukan marad al-mawt, iaitu:

  • Penyakit itu yang menyebabkan kematian si mati.
  • Penyakit itu menyebabkan kecemasan kematian dalam fikiran si mati.
  • Terdapat tanda-tanda luar yang menuntukkan bahawa penyakit itu berat.
Dalam Perkara 1595 Majallah al-Ahkam al-‘Adliyyah, istilah marad al-mawt bermaksud sakit yang kebanyakannya membawa kepada kematian, di mana sakit itu boleh melemahkan orang sakit daripada melihat maslahat (kepentingan) di luar rumahnya jika dia seorang lelaki, dan melemahkannya daripada melihat maslahat (kepentingan) di dalam rumahnya jika dia seorang perempuan. Pesakit itu mati dalam keadaan sedemikian sebelum berlalu masa satu tahun sama ada dia terlantar atas tilam (katil) atau sebaliknya. Sekiranya keadaan sakit tersebut berterusan dan telah berlalu masa satu tahun, maka hukumnya sama seperti orang sihat, ertinya segala urusannya (tasarruf) sama seperti urusan orang sihat selagi sakit itu tidak terlalu berat dan tidak berubah keadaannya. Tetapi sekiranya penyakit itu bertambah berat (serius) dan keadaannya telah berubah dan dia mati dalam keadaan sedemikian, maka keadaan (daripada waktu berlaku perubahan sehingga kematiannya) sakit itu dianggap sebagai marad al-mawt. Daripada definisi di atas, perkataan marad al-mawt mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Sesuatu penyakit itu yang meyebabkan kematian.
  • Kematian yang diakibatkan oleh sesuatu penyakit itu berlaku dalam masa satu tahun atau selepas masa satu tahun (dalam keadaan penyakit itu bertambah berat).
  • Sesuatu penyakit itu boleh melupakan dan melalaikan seseorang pesakit itu daripadakepentingan yang bersifat keduniaan.

Hibah pada masa marad al-mawt ialah pemberian yang dibuat oleh seseorang yang sakit tenat yang boleh membawa kepada kematian. Dalam undang-undang Islam pemberian itu melibatkan dua jenis undang-undang iaitu undang-undang hibah dan wasiat. Sekiranya pemberi hibah menemui ajal berikutan dengan lafaz pemberian itu, maka pemberian itu samalah seperti pemberian melalui wasiat dan tertakluk kepada hukum wasiat iaitu:

  • Pemberian itu tidak melebihi 1/3 daripada harta si mati.
  • Pemberian itu tidak diberikan kepada waris kecuali waris-waris lain telah bersetuju.

Walau bagaimanapun, jika pemberi hibah itu hidup maka pemberian itu termasuk di dalam hukum hibah dan tertakluk kepada hukum pemberian semasa hidup iaitu penyerahan hak pemunyaan oleh pemberi hibah kepada penerima hibah. Dalam Majallah al-Ahkam al-‘Adliyyah juga telah menerangkan babarapa perkara yang berkaitan dengan hibah yang dibuat ketika marad al-mawt, antaranya:

  • Apabila seseorang yang tidak mempunyai waris menghibahkan semua hartanya kepada seseorang pada masa marad al-mawt, kemudian pemberian itu diterima maka hibah itu hukumnya adalah sah (Perkara 877).
  • Apabila seseorang suami menghibahkan semua hartanya kepada isterinya atau sebaliknya pada masa marad al-mawt dan hibah itu telah diterima, sedangkan mereka tidak mempunyai waris lain, maka hibah itu juga hukumnya sah dan baitulmal tidak boleh campurtangan dalam harta peninggalannya (Perkara 878).
  • Apabila seseorang telah menghibahkan sesuatu harta kepada salah seorang daripada waris pada masa marad al-mawt dan selepas kematiannya waris-waris lain tidak bersetuju, maka hibah itu hukumnya tidak sah (Perkara 879).
Read more!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...